10 MAC : Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik sempena sambutan Aidilfitri ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menjamin bekalan barangan keperluan mencukupi di negara ini meski dunia sedang berdepan implikasi konflik di Asia Barat.
Menurutnya, pemantauan dibuat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama pemborong, pengeluar dan peruncit.
“Di peringkat KPDN, kita akan terus memantau bekalan. Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang atau melakukan pembelian panik menjelang perayaan ini.
“Bekalan bukan sahaja mencukupi untuk sambutan 1 Syawal, malah mencukupi walaupun majlis rumah terbuka diadakan sepanjang tempoh perayaan sebab bekalan itu sudah dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Ampang, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata bekalan beberapa barangan utama di negara ini juga berada pada tahap lebihan.
“Pada masa sama, KPDN akan bekerjasama dengan KPKM dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mengenal pasti barangan yang berisiko terjejas sekiranya konflik berlarutan.
“Ini termasuk mencari sumber bekalan alternatif sekiranya berlaku gangguan eksport dari negara tertentu,” jelasnya.
Menyentuh soal pelaksanaan skim harga maksimum sempena Aidilfitri tahun ini, Armizan berkata 27 jenis barangan terpilih disenaraikan yang akan berlangsung selama 15 hari mulai 14 Mac hingga 28 Mac.
