11 MAC : Kerajaan MADANI melaksanakan langkah penjimatan susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia.
Penjimatan awal melibatkan lawatan rasmi ke luar negara dan penganjuran rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan dan kunjungan ke luar negara melibatkan menteri dan anggota pentadbiran kerajaan akan dihadkan buat masa ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah waspada dan penjimatan itu penting susulan kesan konflik itu sudah mula dirasai di negara ini.
“Menteri dan seluruh anggota pentadbiran dan jabata-jabatan dihadkan lawatan atau kunjungan ke luar negara melainkan memang dalam jadual yang wajib dihadiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas perkembangan konflik di Asia Barat, hari ini.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga menetapkan tiada penganjuran rumah terbuka pada Aidilfitri kali ini.
“Sebagai petanda pimpinan memulakan langkah yang lebih positif, saya memutuskan bersama jemaah menteri tadi supaya semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri,” katanya.
Mengulas tentang kemungkinan kekal waspada dan berjimat jika keadaan terkawal, Anwar berkata penjimatan merupakan langkah waras.
“Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal, harga dan barang keperluan seperti minyak dan gas masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan kita waspada dan berjimat?
“Saya kata ini langkah waras bagi kita supaya jangan nanti terjebak dengan keadaan lebih parah. Jadi sebaiknya ambil sikap sederhana, lebih bertanggungjawab,” katanya.
