Aidilfitri: Cuti tambahan bolehkan rakyat rancang perjalanan
18 MAC : Kerajaan mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan bagi membolehkan rakyat mempunyai masa secukupnya untuk merancang perjalanan sempena perayaan Aidilfitri.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata ia juga bagi membolehkan rakyat mengatur urusan kerja masing-masing dengan sebaiknya.
Menurutnya, pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2026 akan diisytiharkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, esok.
“Justeru, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 15 Mac, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi membolehkan rakyat mempunyai masa yang secukupnya untuk merancang jadual perjalanan serta mengatur urusan kerja masing-masing dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat, 20 Mac 2026, maka kerajaan menetapkan hari Isnin, 23 Mac 2026 sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sekiranya tarikh 1 Syawal 1447H jatuh pada hari Sabtu, 21 Mac 2026, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 20 Mac 2026 sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan seksyen 8 Akta 369 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Memandangkan hari kedua Hari Raya Aidilfitri akan jatuh pada Ahad, 22 Mac 2026, maka Isnin, 23 Mac 2026 adalah cuti gantian secara automatik selaras seksyen 3 Akta 369,” katanya.
Sementara itu, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan-kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh-tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing, katanya.
“Bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat atau Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, peraturan hari kelepasan am adalah mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Negeri masing-masing,” katanya lagi.