18 MAC : Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.5 peratus (%) bagi tahun kewangan 2025.
Ia merupakan rekod tertinggi dalam tempoh lapan tahun melibatkan RM3.22 bilion yang memanfaatkan lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata agihan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya mencerminkan prestasi kewangan yang baik.
“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25% bagi tahun 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik.
“TH terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2025, hari ini.
Menurutnya, agihan keuntungan itu ditentukan selepas mengambil kira zakat RM95.3 juta (2.577%) bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).
Menurutnya, pendapatan pelaburan TH mencapai RM4.64 bilion pada 2025 berbanding RM4.56 bilion pada 2024 sementara aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion.
“Pengurusan kos yang berdisiplin serta pengurusan portfolio berhemat di bawah kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) adalah antara penyumbang utama kepada prestasi TH tahun ini.
“Senario ekonomi tempatan yang kian bertambah baik turut memberi impak positif,” katanya.
