24 MAC : Malaysia dan Indonesia sepakat menggesa keamanan bagi meredakan konflik antara Iran dan Israel.
Perkara itu dibincangkan ketika panggilan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, semalam.
Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai isu semasa termasuk perkembangan konflik di Asia Barat.
“Sewaktu panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, semalam, kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa, termasuk konflik Iran-Israel.
“Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, kami bertukar pandangan mengenai konflik Iran–Israel serta kepentingan pendekatan diplomasi yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
“Kami berdua bersama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi dalam meredakan konflik Iran–Israel, supaya ketegangan dapat diredakan, nyawa orang awam dilindungi, serta ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat antara Malaysia dan Indonesia.