2 APR : Iran menetapkan peraturan baharu kepada transit maritim yang melalui Selat Hormuz.
Tehran dalam kenyataan berkata syarat baharu berkaitan perang sudah diserahkan kepada pihak pengantara.
Antara yang utama adalah setiap kapal perlu mendapatkan kebenaran Iran terlebih dahulu.
Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata tempoh ‘keramahan’ yang ditunjukkan Iran selama berdekad-dekad lamanya sudah berakhir.
Sementara jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata konflik yang dicetus Israel dan dibantu Amerika Syarikat itu memberi kesan langsung terhadap keselamatan serantau.
Ini termasuk Selat Hormuz, Teluk Parsi dan Laut Oman di mana kesan perang itu dijangka lebih meluas terhadap ekonomi global.
Bercakap kepada agensi berita Yonhap dari Korea Selatan, Baghaei menegaskan kapal-kapal bukan musuh Iran masih dibenar meneruskan pelayaran di Selat Hormuz selepas penyelarasan yang diperlukan dengan pihak berkuasa Iran.
Tambahnya, langkah itu bagi memastikan laluan 20 peratus minyak dunia itu selamat.
Iran ketika ini sedang merangka untuk mengenakan tol bagi kapal yang melalui selat itu.