3 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di platform media sosial.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan lapan rakaman percakapan suspek yang terlibat telahpun selesai.
“Ini termasuk lima kes hantaran berunsur palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.
“Daripada lima kes tersebut, tiga suspek dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi sudah selesai dirakam percakapan.
“Sementara itu, terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik,” menurut MCMC dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu menurut MCMC, baki sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Penyebaran maklumat-maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
*FOTO : MCMC