Kerajaan pertahan subsidi RON95 demi kurangkan beban rakyat
10 APR : Kerajaan MADANI terus mempertahankan subsidi petrol RON95 meski membebankan dari segi kewangan di tengah-tengah konflik Asia Barat yang belum mereda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat ketika ini.
Namun beliau yang juga Menteri Kewangan sekali lagi mengingatkan rakyat agar berjimat-cermat dalam penggunaan tenaga.
“Daripada segi tekanan kewangan itu sedikit membebankan kerajaan, tetapi saya ingat penting juga supaya kita mengurangkan beban kepada rakyat.
“Jadi saya ingin minta kerjasama semua supaya berjimat-cermat menggunakan tenaga, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah Kampung Cheras Baru, Cheras, hari ini.
Mengulas soal peluasan subsidi diesel kepada sektor terkesan, Anwar berkata ia masih di peringkat kajian.
“Subsidi diesel akan diteruskan, ada beberapa kalangan yang merasakan kenaikan harga diesel itu membebankan. Kalau melibatkan soal peladang, petani, nelayan itu mereka telah dibantu.
“Manakala kalau bidang lain, kita dengan beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya.