14 APR : Kerajaan menjamin bekalan diesel domestik mencukupi dan gangguan yang berlaku ketika ini terpencil akibat isu logistik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kelewatan penghantaran ke pelabuhan dan depoh menyebabkan gangguan bukan kerana kekurangan bekalan.
Namun beliau menyarankan orang awam membuat aduan jika terdapat stesen minyak yang berdepan kekurangan bekalan.
“Isu-isu ini telah dan sedang ditangani segera. Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan aduan sekiranya terdapat stesen minyak mengalami kekurangan bekalan melalui platform aduan rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
Beliau berkata demikian keti ka ditemui selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Kuching pada Isnin.
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan akan terus memperkukuh langkah penguatkuasaan bagi memastikan tiada ketirisan dalam rantaian bekalan bahan bakar itu.
Mengulas soal PJRM, Armizan berkata program itu akan diperkukuh sebagai antara mekanisme intervensi utama membantu rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.
Katanya, bagi tahun ini sehingga bulan lalu, 7,320 siri PJRM dilaksanakan di seluruh negara melibatkan lebih 7.38 juta transaksi.
