14 APR : Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan penyebaran kandungan yang mendakwa Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Dalam satu kenyataan, pejabat tersebut menegaskan Mohamad tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan sekeras-kerasnya imej palsu di media sosial yang mendakwa YB Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” menurut kenyataan itu, hari ini
Dalam pada itu, pejabat menteri memaklumkan laporan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkait perkara itu.
“Sehubungan itu, laporan rasmi telah dibuat kepada MCMC untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” menurut kementerian tersebut.