16 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesan 441 kandungan palsu di media sosial berkait isu krisis tenaga global dan membuka 54 kertas siasatan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia dikenal pasti hasil aduan awam sejak 29 Mac hingga hari ini.
Katanya, MCMC kemudiannya membuat permohonan kepada pengendali platform media sosial untuk penurunan kandungan tersebut.
“Daripada jumlah kandungan palsu yang telah dikenal pasti itu, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka, 12 kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut, manakala 42 lagi kertas siasatan masih berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi itu turut mengesahkan penyebaran grafik palsu berkait harga minyak yang menyalahgunakan format sebuah media tempatan sejak semalam.
Tegasmua, sebarang perubahan harga bagi produk bahan api hanya akan diumumkan setiap Rabu melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan.
“Sebarang maklumat yang dibuat atau sebaran yang dikesan sebelum hari dan waktu itu, yang bukan disebarkan melalui laman rasmi Kementerian Kewangan, berkemungkinan bersifat palsu,” katanya.