22 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 463 permohonan penurunan kandungan berita palsu dari orang awam setakat jam 7 pagi tadi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata jumlah kandungan berita palsu paling tinggi melibatkan harga bahan api dan isu tol Selat Hormuz.
Menurut Fahmi, MCMC akan memanjangkan permohonan itu kepada penyedia-penyedia platform untuk tindakan susulan.
“Saya ingin sampaikan statistik permohonan yang telah diterima MCMC untuk penurunan kandungan berita palsu berkaitan krisis bekalan global di platform-platform dalam talian.
“Setakat 7 pagi tadi, jumlah permohonan penurunan berita palsu diterima MCMC berjumlah 463.
“Ini adalah statistik permohonan yang diterima berdasarkan aduan orang awam. Semua permohonan yang diterima MCMC akan dipanjangkan kepada penyedia platform-platform berkenaan untuk tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan aduan diterima melibatkan platform Facebook paling tinggi setakat ini.
“Berdasarkan aduan yang dibuat, jumlah terbesar adalah bagi platform Facebook sebanyak 185 permohonan manakala jumlah kedua tertinggi adalah di TikTok 142 kandungan dan ketiga di Threads sebanyak 131 kandungan.
“Daripada 463 permohonan ini, sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka di mana satu kes sudah diputuskan Jabatan Peguam Negara untuk dituduh di mahkamah.
“Lima telah mendapat nasihat Peguam Negara untuk arahan kompaun manakala baki masih dalam siasatan,” katanya.