22 APR : Krisis tenaga global ketika ini menuntut Malaysia menilai kembali perancangan utama negara termasuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia penting dalam memastikan perancangan perbelanjaan dan pendapatan negara dapat diselaraskan dengan perkembangan keadaan semasa.
“Sarawak terlebih awal menggunakan tenaga solar sebagai bahan tenaga dan pada waktu sama dalam jangka panjang satu ketika dahulu, mereka mempunyai hydropower yang bukan hanya membekalkan untuk kegunaan Sarawak tetapi boleh dieksport ke Semananjung serta negara jiran.
“Lesson learnt daripada keadaan ini, pada hemat saya memberi beberapa pengajaran kepada kita. Kita melihat bahawa RMK13 harus dilihat semula.
“Malah, bajet yang telah dibentangkan bulan Oktober yang lalu harus melihat analisis yang baharu dan untuk Bajet 2027 juga harus melihat fakta-fakta yang baru ini,” katanya..
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada BN Forum Siri 10: Kesan konflik Amerika Syarikat-Iran ke atas Malaysia, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kesan konflik di Asia Barat itu sudah dirasai yang menekan harga bahan api hingga mencetus krisis tenaga ketika ini.
Justeru itu katanya, amat penting untuk kerajaan membuat persiapan awal kerajaan bagi menghadapi cabaran daripada kesan krisis itu pada masa akan datang.
Namun katanya, Malaysia mempunyai strategi untuk mengimbangi beban kos yang ditanggung bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.