23 APR : Malaysia kini menjadi rujukan di peringkat antarabangsa dalam pengurusan bencana hasil pengukuhan berterusan sistem pengurusan kecemasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia menjadi platform untuk negara lain belajar menguruskan bencana.
“Malaysia bukan sahaja belajar, malah menjadi platform pembelajaran kepada negara lain.
“Jika tidak, mana mungkin pasukan daripada Rusia belajar daripada kita, Turkiye memberi penghargaan kepada kita.
“Myanmar memberi penghargaan kepada kita apabila mereka menghadapi bencana malah Pakistan juga menghargai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terutamanya SMART Team (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Resilient Asia 2026, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata Malaysia sentiasa terbuka untuk menerima kerjasama dari mana-mana negara untuk menjalani latihan bersama, berkongsi pengetahuan dan memperkukuh kesiapsiagaan kolektif.
“Saya percaya ketahanan tidak boleh dibina secara bersendirian. Ia mesti dibina bersama,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata perkembangan teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) pada masa kini sangat membantu pengurusan bencana yang mampu membantu mengurangkan masa tindak balas sehingga 40 peratus dengan pengagihan sumber lebih cekap.
“Penggunaan AI juga membolehkan pengurusan bencana beralih daripada pendekatan reaktif kepada sistem ramalan yang mampu menyokong amaran awal, mengenal pasti pola bencana dan memperkukuh perancangan logistik,” katanya.
Selain itu katanya, kerjasama antara kerajaan, agensi dan antara negara turut menjadi elemen penting dalam membina ketahanan menghadapi bencana.