25 APR : Indonesia tidak bercadang mengenakan tol terhadap kapal yang melalui Selat Melaka.
Pengesahan itu dibuat Menteri Kewangannya, Purbaya Yudhi Sadewa selepas kenyataannya yang membangkitkan perkara itu, sebelum ini.
Beliau melihat tol itu sebagai salah satu sumber pendapatan.
Menurut Purbaya, Indonesia akan mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang menggariskan peraturan penggunaan laluan perairan bagi pelayaran antarabangsa.
Rabu lalu, Purbaya mencetuskan perdebatan apabila secara terbuka mengemukakan kemungkinan mengenakan bayaran tol ke atas kapal di Selat Melaka.
Kenyataan beliau itu ditolak pelbagai pihak termasuk Menteri Luarnya yang menegaskan tiada sebarang tarif dikenakan di Selat Melaka.
Idea itu dilihat muncul ketika dunia berada di tengah-tengah kesan krisis tenaga susulan konflik Asia Barat dengan penutupan Selat Hormuz yang menjadi laluan penting untuk sektor tenaga.