28 APR : Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan cubaan menubuhkan kerajaan secara menebuk atap seperti yang berlaku di Negeri Sembilan.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata meski ramai tidak bersetuju dengan responsnya itu namun beliau menegaskan prinsipnya jelas.
“Apabila saya menyatakan tidak bersetuju tindakan tebuk atap, maka berbondong makian diberikan kepada saya. Prinsip saya jelas, malah telah dinyatakan secara terbuka dalam ucapan saya sebelum ini.
“UMNO tarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan (PH) tetapi bukan untuk menebuk atap dan gila jawatan. Kita tarik sokongan atas sebab kita tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini mengulas kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan semalam selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhada kerajaan negeri.
Menurut Akmal, beliau kekal dengan pendirian sebelum ini yang mahukan UMNO-BN menarik sokongan dan melalui pilihan raya namun bukan dengan cara menebuk atap.
“Kita menghormati mandat rakyat sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah.
“Jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihanraya untuk kita serahkan semula kepada rakyat bukan dengan cara tebuk atap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik sokongan ADUN-ADUN PAS untuk BN di Negeri Sembilan.
“Apabila ADUN-ADUN PN boleh menyatakan sokongan kepada BN di Negeri Sembilan ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk parti-parti Melayu ini boleh duduk bersama.
“Tetapi duduk bersama bukan menebuk atap. tetapi saya mengajak untuk sama-sama kita bekerjasama dalam pilihanraya seperti mana pendirian saya dalam Keluar Sekejap sebelum ini untuk saya melihat kerjasama UMNO dan PAS itu berlaku,” katanya.