1 MEI : UMNO menegaskan tiada salah untuk berhibur namun mesti ada batas dan tidak mengetepikan adab serta sensitiviti agama juga norma masyarakat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata prinsip penganjuran program itu perlu jelas.
“Dalam apa juga penganjuran program, prinsipnya mesti jelas. Ia tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.
“Prinsip kita jelas, berhibur tidak salah tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya memandang serius pandangan jabatan agama berkait penganjuran program di Bukit Bintang yang mencetus pelbagai reaksi.
“Kami mengambil serius pandangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Pandangan ini wajar dihormati kerana ia mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia. Ini pendirian UMNO,” katanya.
Semalam, JAWI membantah penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 berlangsung sejak semalam hingga esok yang dikhuatiri membawa kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, program seumpama itu perlu diteliti kembali dan penganjur juga wajar berbincang dengan pihak berkuasa.
“Sebab itu, kami telah meminta supaya program seumpama ini diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.
“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara.
“Penganjur wajar berbincang dengan pihak berkuasa agar keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.