4 APR : Iran memberi amaran akan menyerang kapal Amerika Syarikat (AS) jika memasuki perairan Selat Hormuz.
Amaran itu dikeluarkan tentera negara tersebut selepas kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang mengumumkan Washington akan mula mengiringi kapal-kapal untuk melalui selat itu.
“Kami memberi amaran mana-mana pasukan bersenjata asing terutama tentera AS yang agresif…sekiranya mereka berhasrat untuk menghampiri atau memasuki Selat Hormuz, akan disasarkan serta diserang,” kata Mejar Jeneral Ali Abdollahi dalam satu kenyataan disiarkan IRIB.
Semalam, Trump melalui hantaran di laman sosialnya berkata operasi ‘Project Freedom’ dilancarkan bermula hari ini sebagai usaha kemanusiaan untuk kru di atas kapal-kapal yang terkandas akibat sekatan di Selat Hormuz.
Katanya, mereka mungkin mengalami kekurangan bekalan makanan dan keperluan penting yang lain.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kapal dan kru mereka keluar dari selat itu dengan selamat.
“Dalam semua kes, mereka menyatakan tidak akan kembali sehingga kawasan itu selamat untuk pelayaran,” katanya.
Setakat ini, rundingan antara Tehran dan Washington masih belum mencapai kesepakatan bagi menamatkan konflik itu.