5 MEI : UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mencapai kesepakatan itu dalam mesyuarat yang dijalankan, hari ini.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan secara bersama oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Dalam kenyataan sama turut memaklumkan Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang diputuskan kedua-dua Biro Politik masing-masing berkait isu di Negeri Sembilan.
Selain itu, majlis itu juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan perlu segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH.
Pada 27 April lalu, 14 ADUN BN Negeri Sembilan berkenaan sebulat suara menarik sokongan daripada kerajaan negeri itu selepas hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.
Ahmad Zahid kemudiannya memaklumkan menghormati keputusan UMNO Negeri Sembilan namun pada masa sama katanya, kesemua 14 ADUN BN di Negeri Sembilan itu juga bersetuju menyokong Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.