6 MEI : Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penamatan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Setiausaha Negara, Marco Rubio berkata Washington mengalihkan tumpuan kepada usaha pembukaan semula Selat Hormuz bagi perkapalan dan perdagangan minyak global.
“Operasi itu sudah berakhir. Epic Fury, seperti dimaklumkan presiden kepada Kongres, kami telah selesai dengan fasa itu,” katanya pada sidang media di Rumah Putih pada Selasa.
Menurut Rubio AS sudah mencapai objektif operasi itu dan kini beralih kepada ‘Project Freedom’ bagi membuka semula Selat Hormuz.
Dilaporkan Presiden AS, Donald Trump mengisytiharkan permusuhan terhadap Iran sudah berakhir melalui surat kepada Kongres, Jumaat lalu.
Surat itu menyatakan tiada pertempuran berlaku antara kedua-dua negara sejak gencatan senjata bermula pada 7 April lalu.
“Permusuhan yang bermula pada 28 Februari 2026 telah ditamatkan,” menurut surat itu.
Rubio juga berkata utusan khas AS, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner sedang berusaha bagi meneroka kemungkinan laluan diplomatik dalam perang Iran.
Menurutnya, jika terdapat laluan diplomatik yang benar-benar berkesan, ia boleh membawa Iran ke arah pembinaan semula, kemakmuran dan kestabilan, serta tidak lagi menjadi ancaman kepada dunia.