16 JUN : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneliti tindakan perundangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah susulan tuduhan serius tidak berasas yang terus diulang.
Menurut KPT, tuduhan itu bukan sahaja berat malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.
“KPT memandang serius beberapa tuduhan yang terus diulang ADUN Jitra, YB Dr Haim Hilman Abdullah berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam termasuk dakwaan kononnya Universiti Awam pada masa kini sedang ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’ dan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui ‘pintu belakang’.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara termasuk Universiti Awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah.
“KPT meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurut KPT lagi, pihaknya sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.
“Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.
“KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” kata kementerian itu.
KPT merujuk tuduhan terkini dibuat melalui rakaman video ucapan yang disiar melalui Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ yang berlangsung pada 13 Jun 2026.
“Perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh YB Dr. Haim Hilman terhadap KPT,” kata KPT lagi.