16 JUN : Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu dilantik, Mohd Hisyamuddin Ghazali sekali lagi diingatkan agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
Peringatan itu dibuat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, hari ini.
Menurut Fahmi, perkara itu penting bagi mengelakkan kenyataan dimanipulasi dan ianya sudah disampaikan kepada Hisyamuddin.
“Saya kata kepada beliau (Hisyamuddin), tenaga dan dinamisme yang ditunjukkan itu sangat baik tapi dalam masa sama perlu berhati-hati untuk pastikan rakyat faham apa yang kita cuba sampaikan.
“Jangan sampai wujud satu ruang sehingga dapat dimanipulasi oleh pihak yang memusuhi dan sengaja mencari isu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan watikah perlantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) negeri Kelantan, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata prestasi Hisyamuddin yang baru dilantik minggu lalu itu akan terus diteliti.
“Ini baru minggu pertama dan kita akan teliti mutu perkhidmatan beliau, saya tengok kepantasan beliau lihat isu dan menangani isu satu perkara yang sangat ‘fresh’.
“Caranya berbeza dari sebelum ini dan saya lihat ada peluang untuk kita terokai cara mengendali isu lebih tuntas,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengingatkan Hisyamuddin agar tidak mengguna pakai bahasa tidak sopan dan mengelak isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dalam membuat kenyataan susulan beberapa hantarannya di media sosial yang disifatkan rasis.
Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz itu merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri dilantik meneraju jabatan itu 8 Jun lalu bagi menggantikan Datuk Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatan awal bulan ini.