16 JUN : Peningkatan trend penipuan dalam talian yang menggunakan akaun keldai melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) semakin membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelajar yang terlibat membenarkan akaun bank mereka digunakan dengan upah antara RM1,000 hingga RM2,000.
“Kebanyakan kes melibatkan pelajar universiti. Sindiket hanya menawarkan agar akaun mereka digunakan dan sebagai balasan diberikan upah sekitar RM1,000 hingga RM2,000.
“Trend penipuan dalam talian yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan dan coraknya turut membabitkan penggunaan mule account oleh pelajar universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Sekolah Selamat di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, hari ini.
Menurut Saifuddin, sindiket itu mengeluarkan wang yang dimasukkan mangsa ke akaun berkenaan sebelum membayar upah kepada pelajar terbabit.
Namun katanya, kerajaan sudah pun meminda undang-undang berkait akaun keldai di mana pemilik yang membenarkan akaunnya diguna pihak lain boleh disabitkan di bawah undang-undang.
“Apabila mangsa menyalurkan wang ke akaun tersebut, sindiket akan segera mengeluarkan wang berkenaan sebelum membayar upah kepada pemilik akaun. Mereka biasanya pergi ke ATM dan memegang beberapa kad ATM untuk mengeluarkan wang secara berterusan. Itu merupakan model operasi paling minimum bagi sindiket ini.
“Sebelum ini, di bawah undang-undang, seseorang individu yang membenarkan akaunnya digunakan untuk tujuan transaksi kewangan oleh pihak lain tidak melakukan kesalahan. Kini, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan susulan pindaan yang kita lakukan tahun lalu,” katanya.