PRN Johor: PM pesan kempen dengan berhemah
26 JUN : Semua pihak dinasihatkan agar berkempen secara berhemah dan berakhlak sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak mengira berapa banyak penjuru sekali pun, semua pihak perlu mengamalkan budaya politik matang.
“Tiga ke enam (penjuru) ini lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak dan jangan lupa daratan.
“Bagi kita dalam Pakatan Harapan (PH) cuba dekatkan kerana prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, jangan kata tolak orang itu, tolak orang ini…tidak. Kerjasamalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menggesa parti-parti dalam kerajaan agar terus mendekati rakyat berdasarkan prestasi yang sudah dicapai.
Menurutnya, pencapaian Kerajaan Perpaduan perlu diterjemah melalui usaha menyantuni masyarakat dan bukannya dijadikan alasan untuk bersikap angkuh
“Malaysia ini sudah begini rupanya. Ambillah sikap yang sederhana sedikit dan cuba layani serta santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya.
Proses penamaan calon PRN Johor akan berlangsung esok sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkempen sebelum hari membuang undi 11 Julai depan.