Portal rasmi KKM digodam, akses terganggu
27 JUN : Portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digodam pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan gangguan akses.
Menurut KKM, tindakan pemulihan semula sistem sedang dilaksanakan bagi memastikan portal itu dapat beroperasi semula.
“KKM ingin memaklumkan bahawa portal rasmi kementerian kini sedang mengalami gangguan akses yang dipercayai berpunca daripada insiden keselamatan siber.
“Sehubungan itu, KKM sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian dengan kadar segera. Pada masa yang sama, tindakan pemulihan semula sistem sedang dilaksanakan bagi memastikan portal rasmi kementerian dapat beroperasi semula secepat mungkin,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, KKM berkata pihaknya memandang serius insiden itu dan sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan aspek keselamatan sistem diperkukuhkan serta bagi mengelakkan kejadian tersebut daripada berulang.
Justeru itu, KKM berkata orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat rasmi kementerian melalui saluran media sosial rasmi KKM dan platform komunikasi rasmi lain sepanjang tempoh gangguan ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sementara usaha pemulihan dilaksanakan.
“Sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.