KENYATAAN MEDIA
DATUK ARMIZAN MOHD ALI
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
Tinjauan ke Stesen Shell Presint 18, Putrajaya hari ini adalah untuk melihat kesiapsiagaan Syarikat Shell bagi pelaksanaan bantuan subsidi bahan api rakyat melalui BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan berkuat kuasa sepenuhnya di seluruh negara bermula 1 Julai 2026.
Ini merupakan susulan kepada tinjauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap persiapan di pihak Syarikat PETRONAS yang telah berlangsung pada 15 Jun 2026.
Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan semalam, hari ini pelaksanaan secara rintis bermula untuk melihat kestabilan sistem dengan akses awal diberikan kepada para penerima yang layak di stesen- stesen minyak di Semenanjung Malaysia dengan harga runcit RM2.15 seliter. Harga subsidi BUDI Diesel RM2.10 seliter akan bermula pada 1 Julai 2026.
Tinjauan meliputi tahap persiapan pelaksanaan di peringkat runcit stesen minyak termasuk kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta aspek perkhidmatan mesra pelanggan bagi memastikan kelancaran mekanisme sebaik berkuat kuasa kelak.
Melalui BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di stesen-stesen minyak sama ada melalui pengesahan MyKad atau aplikasi digital syarikat.
Sebagai kementerian yang mengawal selia perkhidmatan runcit bahan api, KPDN komited memastikan pelaksanaan mekanisme ini membolehkan rakyat mendapat akses untuk memanfaatkan bantuan subsidi bahan api dengan lancar, selamat dan mesra pengguna.
Hasil kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri, 10 syarikat minyak iaitu PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB telah mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing bagi pelaksanaan BUDI Diesel.
Sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara telah bersedia untuk pelaksanaan penuh BUDI Diesel sebagai salah satu mekanisme penyasaran subsidi bahan api.
Pada masa yang sama, Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, 26 Jun 2026 telah membincangkan status kemajuan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api melalui mekanisme BUDI Diesel, BUDI95, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS). Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengarahkan penambahbaikan dilaksanakan terhadap beberapa aspek untuk memastikan maklum balas rakyat disantuni melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan dan kedudukan serta ruang fiskal negara.
Antara penambahbaikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan bidang kuasa KPDN ialah:
1. Peluasan penyaluran subsidi diesel kepada para peniaga kecil yang mempunyai kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan/syarikat di bawah kelas/kod kegunaan persendirian perniagaan. Syarat kelayakan subsidi diesel sebelum ini adalah terhad kepada
(a) kenderaan didaftarkan atas nama individu bagi BUDI Diesel dan
(b) kenderaan perniagaan/syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas/kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna bagi SKDS.
2. Semakan pelarasan kadar kuota tetap beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah SKDS. Selain daripada penilaian purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, pelarasan kuota tetap akan mengambil kira faktor teknikal seperti Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta pola operasi kenderaan.
Melalui SKDS, kadar penggunaan dan jumlah perbelanjaan subsidi bahan api Kerajaan untuk setiap kenderaan dan syarikat yang berdaftar akan direkodkan.
KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan telah diarahkan untuk mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan dasar Jemaah Menteri dengan mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian termasuk keperluan pengubahsuaian dan pengintegrasian kepada sistem pelaksanaan sedia ada.
DATUK ARMIZAN MOHD ALI
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP