Perkukuh sistem keadilan syariah perlu kefahaman mendalam
27 JUN : Usaha memperkukuh sistem keadilan syariah di Malaysia memerlukan kefahaman mendalam, hikmah serta kesabaran dalam memastikan kedudukan undang-undang syariah terus diperkasa tanpa menjejaskan hak penganut agama lain.
Demikian kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selepas menghadiri Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.
“Saya yakin kita mempunyai hujah yang kuat dalam meningkatkan kedudukan undang-undang syariah, namun perlu disusuli dengan penjelasan yang tuntas kepada komuniti bukan Islam bahawa ianya tidak menjejaskan urusan agama bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, perjuangan mengangkat martabat mahkamah syariah bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah melalui perjalanan panjang sejak beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri bersama Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Mohamed Ibrahim dalam Badan Perunding Islam.
“Saya singkap pengalaman semasa menjadi Timbalan Menteri dan bersama dengan Almarhum Tan Sri Dr Ahmad Mohamad Ibrahim dalam Badan Perunding Islam untuk mengangkat martabat mahkamah syariah di Malaysia.
“Cabaran mengenengahkan peranan institusi mahkamah syariah ketika itu tidak mudah. Tan Sri Ahmad sangat menekankan penguasaan mendalam undang-undang syariah dan sivil dalam mengemukakan rancangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan mahkamah syariah.
“Saya juga tidak terlepas dari peringatan Tan Sri Ahmad agar membaca dan memahami secara komprehensif mengenai isu ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memberikan sumbangan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi melaksanakan Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS).
“Salah satu yang penting dalam pengurusan keadilan syariah adalah akses golongan yang kurang mampu kepada perkhidmatan representasi guaman dan pembelaan hak di Mahkamah Syariah.
“Sumbangan itu khusus bagi membantu golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal serta pihak yang tidak berkemampuan,” katanya.
Anwar berharap usaha itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial agar tiada golongan yang tercicir daripada mendapat perlindungan undang-undang serta pembelaan yang sewajarnya.
