7 JUL : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan tambahan RM150 juta bagi mempercepat pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan menyiapkan projek yang tertangguh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Maran, hari ini.
“Dengan ini, bagi menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu Felda, saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta.
“Hari ini saya tidak mahu umum dasar, saya mahu umum projek yang berjalan, bahawa kerajaan ini melaksanakan janji,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata projek PGBF yang bermula sejak 2013 itu melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Daripada jumlah itu katanya, 2,458 unit di 12 tapak atau 29.8 peratus sudah siap dan mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sementara baki 2,546 unit di 13 tapak masih dalam pembinaan.
Sekakat ini, Anwar berkata beberapa projek dijangka siap secara berfasa tahun ini termasuk Bersai, Perak (102 unit), Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (70 unit).
Anwar berkata, beberapa projek lain yang akan diteruskan adalah di Sungai Koyan, Pahang (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit), Kerteh, Terengganu (110 unit).
Dalam pada itu, Anwar mengarahkan pihak pengurusan Felda agar menyediakan laporan lengkap dalam tempoh dua bulan bagi mengenal pasti punca serta langkah penyelesaian terhadap projek-projek yang lewat.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan kelulusan serta-merta terhadap kira-kira 8,000 unit rumah yang sudah siap dibina untuk sambungan bekalan elektrik dan air.
