7 JUL: Penggunaan telefon bimbit ketika memandu bakal dikenakan tindakan lebih tegas di Singapura menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan Pelbagai) yang turut mencadangkan had alkohol lebih rendah bagi pemandu.
Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri, Sim Ann membentangkan RUU itu, hari ini.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pindaan itu menetapkan pemandu melakukan kesalahan jika memegang telefon bimbit atau peranti komunikasi mudah alih ketika kenderaan sedang bergerak tanpa perlu dibuktikan mereka sedang menggunakannya.
Pindaan itu juga membolehkan polis trafik menguatkuasakan kesalahan berkenaan menggunakan rakaman kamera serta bukti foto atau video yang dikemukakan orang awam.
Selain itu, had alkohol yang dibenarkan turut dicadangkan dikurangkan bagi memperkukuh pencegahan terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
RUU itu turut memperberat hukuman bagi kesalahan memandu secara cuai atau berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Jika diluluskan, pesalah berulang bagi kesalahan memandu berbahaya boleh dipenjara sehingga 13 tahun.