10 JUL : Aduan berkait bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang disiar secara dalam talian boleh disalur terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata pihaknya memantau bahan kempen fizikal yang dipasang di kawasan tertentu.
“Bagi poster fizikal yang ditampal di beberapa tempat, ia telah dilaporkan kepada pasukan pemantau dan tindakan menurunkan bahan berkenaan telah dilaksanakan.
“Bagaimanapun, bagi bahan kempen yang disebarkan menerusi platform dalam talian, tindakan adalah di bawah bidang kuasa MCMC. Saya minta supaya laporan dibuat terus kepada agensi itu agar kandungan tidak berkaitan dapat diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di pusat semakan peti undi, hari ini.
Terdahulu, UMNO menuntut SPR bertindak terhadap pihak yang menggantung kain rentang dengan wajah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Rakyat Johor akan mengundi bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.