12 JUL : Barisan Nasional (BN) menang 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sementara Pakatan Harapan (PH) menang lapan kerusi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata pada PRN kali ini, peratusan keluar mengundi 68.73 peratus (%).
“Keputusan penuh diperolehi adalah seperti berikut. BN 48 kerusi dan PH lapan kerusi.
“Pada PRN Johor ke-16 ini, seramai 1.87 juta atau 68.73% telah keluar mengundi. Jumlah tersebut meliputi pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, awal pagi tadi.
Dalam pada itu, Ramlan berkata secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung pada 11 Julai 2026 dan pengundi-pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.
“Pada PRN Johor ke-16 juga tidak berlaku sebarang perkara-perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya.
“Dalam melaksanakan urusan pilihan raya, SPR sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Keputusan itu juga menunjukkan gabungan pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi itu berjaya merampas kembali lapan kerusi DUN disandang PH termasuk Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak.
Selain itu, tiga kerusi Perikatan Nasional (PN) turut dirampas BN pada PRN kali ini iaitu Bukit Kepong, Endau dan Maharani.
PN gagal menang sebarang kerusi kali ini sementara Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli hilang deposit di kesemua kerusi ditandingi.

*Foto : Facebook Onn Hafiz Ghazi