15 JUL : Langkah penambahbaikan bagi masalah isyarat rangkaian penuh pada telefon bimbit namun tiada capaian Internet sedang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pemberi perkhidmatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata antara langkah yang diambil ialah menaik taraf rangkaian penghantaran menggunakan gentian optik berkapasiti tinggi, selain melaksanakan jaringan lewah serta menyediakan laluan penghantaran alternatif bagi mengurangkan risiko kegagalan talian.
“Isu ketiadaan akses internet walaupun pengguna menerima isyarat telefon yang kuat atau full bars boleh berlaku akibat beberapa faktor yang menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan pelan tuntas mengatasi masalah kegagalan talian berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu juga boleh berlaku akibat kesesakan kapasiti rangkaian susulan penggunaan data yang tinggi serta gangguan atau kerosakan pada talian penghantaran.
Faktor fizikal lain seperti pemotongan kabel gentian optik, vandalisme, kecurian, bencana alam, ancaman binatang liar dan kerja-kerja pembinaan turut menyumbang kepada gangguan perkhidmatan.
“Selain faktor rangkaian, pengalaman pengguna turut dipengaruhi oleh keadaan peranti, tetapan telefon, jenis pelan langganan serta baki kuota data yang tersedia,” katanya.
Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan ketika berlaku gangguan, katanya, MCMC turut menaik taraf kemudahan sokongan termasuk sistem jana kuasa sandaran, manakala semua tapak komunikasi dipantau secara berterusan oleh Pusat Pemantauan Rangkaian (NMC) yang beroperasi 24 jam.
Selain itu, Nie Ching berkata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, MCMC turut menaik taraf kemudahan sokongan seperti sistem jana kuasa sandaran selain semua tapak komunikasi dipantau secara berterusan oleh pemberi perkhidmatan melalui Pusat Pemantauan Rangkaian (NMC) yang beroperasi 24 jam.
“Bagi meningkatkan keselamatan menara-menara di bawah inisiatif Pelan JENDELA, Pemberi Perkhidmatan telah mengambil langkah memperkasakan tapak-tapak menara komunikasi yang berisiko dengan pemasangan kelengkapan antikecurian dan vandalisme seperti pemasangan sesalur besi untuk mengelakkan kabel tembaga dipotong dan dicuri,” katanya.