28 JUL : Barisan Nasional (BN) menganggap diri sebagai ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan jenteranya tidak terlalu yakin.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu juga sebagai dorongan agar jentera BN terus bekerja keras hingga tamat tempoh berkempen.
“Maka ‘underdog’ ini penting pada kami supaya kami tidak terlepas pandang kepada kumpulan sasaran, biar sekecil mana pun kumpulan itu.
“Pegangan ‘underdog’ ini juga untuk mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya tidak melakukan sesuatu di luar daripada norma atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak dapat diterima pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata strategi itu diambil susulan gabungan itu bukan parti yang menerajui Negeri Sembilan pada penggal lalu.
“Kita adalah ‘underdog’ kerana yang menjadi kerajaan negeri ialah gabungan parti yang berbeza daripada kita walaupun kita bersama di peringkat nasional.
“Sebagai parti gabungan yang ‘underdog’, tentu kelebihan itu pergi kepada parti gabungan yang memerintah. Jadi kami bekerja dengan penuh rendah diri,” katanya.