28 JUL : Malaysia kini hanya 7.1 peratus lagi untuk mencapai ambang negara berpendapatan tinggi mengikut penanda aras Bank Dunia.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pencapaian itu didorong pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.
“Ekonomi berkembang 5.8 peratus, inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus manakala kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus. Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi.
“Ini merupakan angka yang menggalakkan, namun mencapai ambang tersebut bukan matlamat akhir. Yang lebih penting ialah memastikan pertumbuhan ekonomi menghasilkan gaji yang lebih baik, lebih banyak pekerjaan berkualiti serta kuasa beli rakyat yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD): Malaysia 2026, hari ini.
Beliau berkata laporan berasaskan bukti itu akan dijadikan rujukan dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Selain itu katanya, langkah itu juga membantu mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.
Menurut Akmal, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita meningkat kepada RM57,200 atau kira-kira AS$13,351 pada 2025 di mana nilai itu semakin menghampiri ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia sebanyak AS$14,375.
Beliau berkata, sasaran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus pada 2026 kekal dikekalkan dan momentum itu disokong permintaan domestik, pelaburan swasta, eksport serta sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor bersama pusat data.
Laporan OECD turut mengenal pasti padanan kemahiran tenaga kerja sebagai antara cabaran utama ekonomi negara.
Katanya, seramai 35.6 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih bekerja dalam bidang tidak sepadan dengan tahap kemahiran dimiliki.
“Apabila 35.6 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kemahiran mereka, kejayaan sistem pendidikan tidak boleh dinilai berdasarkan bilangan graduan semata-mata.
“Pendidikan dan latihan perlu diterjemahkan kepada pekerjaan bernilai tinggi, produktiviti yang lebih kukuh serta gaji yang setimpal dengan kemahiran pekerja,” katanya.
Sehubungan itu, Akmal berkata, RMK13 akan memperkukuh penyelarasan kurikulum mengikut keperluan industri, memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Academy in Industry (AiI) serta program peningkatan kemahiran dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata defisit fiskal Persekutuan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025.
“Kita telah mengurangkan defisit daripada 5.5 peratus kepada 3.7 peratus dan menyasarkan tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030.
“Konsolidasi fiskal bukan bermaksud mengurangkan sokongan kepada rakyat, sebaliknya memastikan setiap ringgit digunakan dengan lebih berkesan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan kekal komited menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030 melalui bantuan lebih bersasar selain usaha mengurangkan ketirisan tanpa menjejaskan kebajikan golongan rentan.
Akmal berkata, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 menetapkan sasaran mengurangkan beban kawal selia tidak perlu sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.
Langkah itu disokong usaha Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi mempercepat proses kelulusan perniagaan serta meningkatkan ketelusan penyampaian perkhidmatan.