Laporan RCI Tabung Haji didedah hari ini, siasatan diteruskan
29 JUL : Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum hari ini selepas diputuskan untuk dinyahklasifikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH selain meneliti kandungan laporan berkenaan dalam mesyuarat, hari ini.
Menurut Fahmi, laporan sama turut akan dibentangkan untuk perbahasan menerusi sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa Laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus dari syor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan siasatan penuh oleh agensi penguat kuasa diteruskan serta-merta berasaskan dapatan dalam laporan RCI itu.
Katanya, mana-mana individu didapati melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.
Pada masa sama, Jemaah Menteri mengambil maklum pengumuman TH mengenai agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
“Ia sekali gus menunjukkan pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik,” katanya.
Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH.
Beliau berkata, keputusan berhubung penerbitan laporan berkenaan akan dimuktamadkan bersama Ketua Setiausaha Negara sebelum ia didedahkan kepada umum.