1 OGOS : Indonesia memperketat pemeriksaan bagasi kru penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta susulan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia kerana didakwa cuba menyeludup dadah ke negara itu, Rabu lalu.
Ketua Pejabat Utama Kastam dan Eksais Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata pemeriksaan rambang terhadap juruterbang serta kru kabin akan dipertingkat melibatkan penerbangan domestik mahupun antarabangsa namun laluan khas itu tetap digunakan.
“Penyediaan laluan khas untuk kru sememangnya menjadi tanggungjawab kami. Namun susulan insiden ini, kami akan menjalankan pemeriksaan rambang. Contohnya dengan melaksanakan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap juruterbang dan kru penerbangan,” katanya, lapor berita Antara.
Menurutnya, insiden itu mendorong semakan semula prosedur keselamatan di lapangan terbang paling sibuk di Indonesia.
Katanya, peningkatan kawalan itu hanya membabitkan pemeriksaan bagasi dan bukannya ujian saringan dadah.
Semalam, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan pada 29 Julai selepas didakwa cuba membawa kira-kira 25 kilogram pil ekstasi bernilai sekitar Rp60 bilion ke Indonesia.
Siasatan mendapati suspek didakwa positif MDMA, metamfetamin serta kokain.
Lelaki itu juga mengaku pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini menggunakan sistem pengendalian bagasi khas kru dengan menyembunyikan bahan terlarang di bawah pakaian dalam sebuah bagasi bertanda tag kru.
Siasatan awal turut mendapati suspek dijanjikan bayaran RM50,000 bagi membawa bekalan dadah itu.
Pihak berkuasa Indonesia masih memburu dalang sindiket penyeludupan berkenaan.