4 OGOS : Sebanyak 25 negeri dan wilayah Komanwel memfailkan saman bagi mencabar pelaksanaan tarif global baharu diperkenalkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Saman difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS itu melibatkan Oregon, Arizona, California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Kentucky, Maine, Maryland, Massachusetts, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, North Carolina, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, Virginia, Washington serta Wisconsin.
Saman itu mendakwa Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) menjadikan siasatan berkaitan buruh paksa di peringkat global sebagai alasan untuk menguatkuasakan semula sekatan perdagangan, walaupun tindakan serupa sebelum ini sudah dibatalkan mahkamah Persekutuan.
Plaintif turut mempersoalkan tempoh siasatan USTR terhadap 60 ekonomi kerana proses berkenaan hanya mengambil masa kira-kira dua bulan setengah, sedangkan siasatan seumpama itu lazimnya memerlukan lebih setahun.
“Tidak kira bagaimana pentadbiran cuba mewajarkannya, menurut undang-undang dan Perlembagaan kita jelas bahawa presiden tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif secara menyeluruh terhadap mana-mana negara yang dipilihnya,” kata Peguam Negara New York, Letitia James dalam satu kenyataan.
Gabungan berkenaan turut mendakwa cabang eksekutif cuba mengambil alih kuasa percukaian milik Kongres, selain melanggar Akta Tatacara Pentadbiran.
Melalui saman itu, 25 negeri berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan tarif terbabit tidak sah seterusnya membatalkan pelaksanaannya.