6 OGOS : Garis pemisah antara profesionalisme penjawat awam dengan politik kepartian mesti kekal jelas demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkembangan politik negara wajar difahami penjawat awam namun tetap profesionalisme tanpa memihak kepada mana-mana parti.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini tidak menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan maka segala dasar dan program pembangunan untuk rakyat tetap berjalan.
“Penjawat awam perlu peka terhadap konteks politik yang membentuk dasar kerajaan, tetapi tidak boleh dan tidak perlu terheret ke dalam politik kepartian.
“Penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik, namun tidak sesekali menjadi alat atau dipengaruhi politik. Garis pemisah itu mesti jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata politik menentukan mandat untuk mentadbir negara, manakala penjawat awam berperanan menterjemahkan mandat itu menerusi pelaksanaan dasar, program serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, urusan pentadbiran tidak boleh terhenti hanya kerana berlaku perubahan atau persaingan politik, sebaliknya setiap dasar perlu diteruskan, projek pembangunan mesti berjalan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh terjejas.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional, berintegriti serta mematuhi peraturan akan terus mendapat perlindungan daripada sebarang tekanan atau campur tangan.
Beliau menegaskan sebarang dakwaan campur tangan terhadap urusan pentadbiran akan ditangani mengikut saluran serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul.
“Selebihnya, serahkan kepada saya. Saya tahu apa yang perlu dilakukan.” katanya.