6 OGOS : Amerika Syarikat (AS) memulangkan kira-kira AS$100 bilion (RM425 bilion) hasil kutipan tarif selepas Mahkamah Agung AS membatalkan pelaksanaannya.
Menurut dokumen difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS, bayaran balik duti berserta faedah itu sudah diselesaikan setakat penghujung Julai.
Jumlah itu mewakili lebih separuh daripada AS$166 bilion (RM478 bilion) kutipan tarif yang diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Agung, Februari lalu.
Tarif menjadi antara dasar utama Presiden Donald Trump dalam strategi perdagangan serta hubungan luar negara walaupun langkah itu menerima kritikan daripada penganalisis selain berdepan cabaran di mahkamah.
Ahli Kongres Parti Demokrat, Greg Casar berkata, Trump menyalurkan bayaran balik berkenaan kepada syarikat dan bukannya rakyat.
“Setiap sen daripada bayaran balik ini sepatutnya dikembalikan kepada pengguna AS,” kata Casar.
Pada 20 Februari, Mahkamah Agung memutuskan sebahagian besar tarif berskala luas diperkenalkan Trump tidak sah kerana Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) tidak memberi kuasa kepada presiden mengenakan tarif secara unilateral ke atas barangan import dari negara rakan dagang.
Susulan keputusan itu, Trump mengkritik hakim Mahkamah Agung dengan mendakwa mereka tidak setia, sebelum mengumumkan tarif sementara baharu sebanyak 10 peratus menggunakan peruntukan undang-undang lain.
Beliau kemudian memperkenalkan satu lagi pusingan tarif global di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 bagi menangani amalan ekonomi negara lain yang dianggap tidak adil atau bersifat diskriminasi.