6 OGOS : Nurul Izzah Anwar memohon untuk mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden PKR.
Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata,keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan berkenaan serta mendengar pandangan Nurul Izzah dan barisan pimpinan parti.
“MPP turut membincangkan permohonan Nurul Izzah Anwar untuk mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat MPP PKR, hari ini.
Fahmi berkata, Nurul Izzah dijadual merasmikan Kongres Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan pada 14 Ogos ini.
Beliau turut memaklumkan MPP bersetuju melantik Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara sepanjang Nurul Izzah bercuti.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata MPP menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.
“Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus sewaktu dua PRN itu serta merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal lalu,” katanya.
Menurutnya, MPP turut bersetuju melantik Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
Bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026, Fahmi berkata MPP meluluskan kemasukan 3,533 anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian.