Anwar selamat jalani pembedahan bagi rawat hernia perut
10 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia), hari ini.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata prosedur itu berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.
Pagi tadi, Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Anwar menjalani pemeriksaan kesihatan dan berada dalam pemantauan selama dua hari.
Dalam kenyataan tersebut, Tunku Nashrul mengajak orang ramai mendoakan kesihatan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu supaya dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.
“Perdana Menteri sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan. Beliau dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.