Anwar mohon maaf tidak sertai sidang khas bahas RCI TH
11 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf tidak dapat menyertai Sidang Khas bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Anwar akan mengikuti sesi itu secara dekat meski masih dalam pemantauan selepas menjalani pembedahan semalam.
Menurutnya, keadaan kesihatan Anwar kini semakin baik dan dalam pemantauan pasukan perubatan.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.
“Pada masa sama, Perdana Menteri turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji dan mendoakan agar persidangan berjalan lancar.
“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Tunku Nashrul berkata Anwar turut meramkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau, serta atas ingatan dan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-79 pada Isnin.
Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah memaklumkan Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia), semalam.
Menurut Asri, prosedur itu berjalan lancar dan Anwar sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.
Sidang khas itu berlangsung di Parlimen pagi ini dengan pembentangan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Selepas pembentangan, persidangan itu akan berlangsung tanpa waktu rehat dan diteruskan dengan sesi pertanyaan dan perbahasan.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 itu turut memberi tumpuan kepada pelan pemulihan serta tindakan susulan yang sudah diambil bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan Tabung Haji.