17 OGOS : PKR perlu bermuhasabah susulan keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan tanpa menuding jari atau mencari alasan atas kekalahan yang berlaku.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa keputusan berkenaan perlu diterima dengan penuh tawaduk dan memperbaiki kelemahan melalui gerak kerja lebih tersusun serta berdisiplin.
“Keputusan di Johor dan Negeri Sembilan mesti diterima dengan penuh tawaduk. Jangan menuding jari atau mencari alasan. Sebaliknya, kita wajib bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan bangkit dengan gerak kerja yang lebih tersusun serta berdisiplin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata PKR perlu kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Katanya, prinsip keadilan perlu diterjemahkan melalui dasar serta tindakan, bukan sekadar retorik.
“PKR memilih jalan yang sukar, iaitu jalan prinsip, idealisme dan keberanian melakukan perkara yang benar. Kita tidak akan sesekali menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita Reformasi semata-mata demi mempertahankan kuasa,” katanya.
Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira negeri atau latar belakang politik.
Beliau berkata rakyat di negeri ditadbir pembangkang juga wajib dibela kerana amanah kerajaan adalah kepada seluruh rakyat dan negara.
Pada masa sama, Anwar berkata usaha memperkukuh tatakelola perlu diteruskan termasuk membersihkan institusi serta memperbetulkan kelemahan secara tegas.
Dalam pada itu katanya, Akta Tabung Haji akan dipinda bagi memelihara amanah umat Islam, manakala Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong suara mahasiswa.
Anwar turut menegaskan kekuatan PKR bergantung kepada barisan yang bersih, kepimpinan teguh serta gerak kerja tersusun.
“Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan.
“Rapatkan barisan, perkemas gerak kerja dan terus mara demi rakyat dan negara!” katanya.
