17 OGOS : Kerugian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dianggarkan mencecah RM30 bilion setahun, selain mengorbankan ribuan nyawa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pada tahun lalu, sebanyak 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan bersamaan kira-kira 18 kematian setiap hari.
Beliau berkata, angka kerugian sosio-ekonomi itu merangkumi kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan serta kesan terhadap keluarga dan masyarakat.
“RM30 bilion setahun, namun yang paling mahal ialah nyawa yang tidak dapat dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Nanta berkata, lebih membimbangkan apabila 80.6 peratus kemalangan dikaitkan dengan faktor manusia, menunjukkan usaha meningkatkan keselamatan jalan raya tidak boleh dipikul satu kementerian sahaja.
Menurutnya, pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, penguatkuasaan, teknologi serta penyediaan infrastruktur lebih selamat perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Dalam hal ini, pendirian KKR adalah jelas. Kita tidak mahu hanya membaiki jalan selepas kemalangan berlaku. Kita mahu membina dan menyelenggara jalan yang lebih selamat, mengurangkan risiko dan kesilapan manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta menegaskan, kehilangan 18 nyawa sehari tidak seharusnya dianggap sebagai perkara biasa.
“Setiap nyawa yang berjaya kita selamatkan adalah kemenangan untuk rakyat,” katanya.