17 OGOS : Kementerian Kewangan (MOF) menafikan maklumat tular mengenai kewujudan ‘Bantuan eMADANI RM1,700’ untuk golongan suri rumah, ibu tunggal dan warga emas.
MOF menerusi kenyataan hari ini menegaskan maklumat yang disebarkan dengan menggunakan logo kementerian itu adalah palsu dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, tidak menekan sebarang pautan mencurigakan dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan melalui laman atau akaun yang tidak sah,” menurut MoF, hari ini.
Kementerian itu juga menegaskan semua maklumat berkaitan bantuan serta inisiatif kerajaan perlu disemak menerusi saluran rasmi kerajaan sebelum dikongsi.
“Semak dahulu. Jangan mudah percaya. Jangan sebarkan maklumat palsu,” menurut MoF lagi.
