20 OGOS : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan kehadiran warga asing di premisnya tidak semestinya berkaitan dengan permohonan atau pemberian kad pengenalan, MyKad.
JPN dalam kenyataan berkata, pihaknya menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan.
“JPN mengambil maklum hantaran yang tular di media sosial yang memaparkan kehadiran individu warga asing di premis JPN dan mengaitkannya dengan urusan membuat kad pengenalan.
“Untuk makluman, kehadiran seseorang di premis JPN tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad. JPN menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN menegaskan pihaknya sudah memberikan penjelasan berhubung isu yang hampir sama pada Jun lalu, khususnya mengenai kekeliruan yang mengaitkan pendaftaran kelahiran individu bukan warganegara dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia.
Menurut JPN, sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia dan ia bukan bukti individu tersebut merupakan warganegara Malaysia.
JPN berkata, sijil berkenaan turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
Katanya, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu atau bapa.
“Ini kerana setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira sama ada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut merupakan warganegara atau bukan warganegara,” kata JPN.
JPN menjelaskan pendaftaran itu penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan.
Selain pendaftaran kelahiran, terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang melibatkan bukan warganegara, termasuk pendaftaran perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
Justeru, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di premisnya atau sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang dijalankan.
