24 OGOS : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan akan menghadiri Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September ini.
Menurutnya, Pemuda UMNo menerima jemputan ke acara tahunan itu daripada Pemuda PAS.
“Mmemang ada jemputan daripada Pemuda PAS untuk menghadiri muktamar berkenaan dan insya-Allah, saya sudah menyatakan komitmen untuk hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Sementara itu, menyentuh soal Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pada 10 September ini, Akmal berkata acara itu akan menumpu kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut Akmal, perhimpunan itu turut menjadi medan untuk perwakilan mengemukakan cadangan bagi dipertimbangkan dalam penyediaan manifesto Barisan Nasional (BN).
“Pada perhimpunan itu nanti kita akan buka untuk perwakilan mencadangkan perkara yang terbaik untuk dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dalam mendepani PRU.
“Kita akan dengar pandangan serta cadangan daripada perwakilan dan seterusnya dibawa berbincang ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.
“Saya yakin, perwakilan Pemuda banyak idea yang boleh diketengahkan dan sudah pasti kita akan pertimbangkan,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri itu, seramai 1,328 individu menerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka.
Antaranya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri.