Saravanan mengaku tidak bersalah terima suapan hampir RM1.09 juta
28 OGOS : Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan hampir RM1.09 juta.
Suapan itu didakwa berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat pada 2022.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa menerima wang tunai pada 2022 masing-masing RM150,000 serta RM350,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim.
Wang itu didakwa diserahkan sebagai dorongan untuk beliau meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, Ahli Parlimen Tapah itu didakwa menerima suapan RM597,000 daripada individu sama menerusi sekeping cek.
Cek itu kemudiannya didepositkan ke dalam akaun Maybank Islamic milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Pertuduhan itu turut berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].
Ia boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Tertuduh juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.