SMART dihantar ke Nepal bantu operasi SAR, bawa pulang rakyat Malaysia
30 OGOS : Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir yang melanda negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pasukan berkenaan juga perlu mengesan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) akan menyelaras penghantaran SMART bersama kerajaan Nepal supaya pasukan itu dapat digerakkan segera.
“Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya menerusi kenyataan ,hari ini.
Dalam perkembangan sama, Malaysia turut menyalurkan sumbangan AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa banjir serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.
Anwar berkata bantuan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk bersama Nepal dalam menghadapi kesan bencana berkenaan.