14 SEPT : Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan wang Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM860,308,770.51.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Jamil Khir didakwa secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan wang miliknya kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd (Al-Rawda).
Tiga transaksi itu membabitkan RM42,942,074, RM288,172,134.64 dan RM529,194,561.87.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Putrajaya pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017 ketika beliau memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Jamil Khir dibenar diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH yang didedahkan pada 29 Julai merekodkan kerugian hampir RM13 bilion dengan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.